Search This Blog

SELAMAT DATANG....... WELCOME~~~

Salam... selamat datang ke blog inspirasi jebat.... Moga moga ianya memberi manfaat dan informasi yang berguna kepada anda. sebarang cerita atau berita yang di sampaikan didalam blog ini tiada niat dengan sengaja atau tidak sengaja untuk menjatuhkan maruah, reputasi atau sebarang pandangan sama ada individu, syarikat mahupun negara. di harap anda dapat menerima blog ini...

ikhlas dari,
Jebat USM

Showing posts with label Sports. Show all posts
Showing posts with label Sports. Show all posts

Thursday, November 24, 2011

Harimau Muda kembali lengkap... sedia mengaum di bumi Bahrain


KUALA LUMPUR – Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee mempunyai beberapa sebab untuk tersenyum menjelang perlawanan getir menentang Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
Pertama, tiga tonggak utama, Syahrul Azwari Ibrahim, Fadhli Shas dan Irfan Fazail dijangka cergas untuk kembali memperkuatkan kesebelasan utama dalam misi mengutip tiga mata penuh.
Hanya kemenangan mampu menghidupkan peluang kita untuk setidak-tidaknya merebut kedudukan naib juara Kumpulan C.
“Syahrul, Irfan berkemungkinan besar dapat diturunkan dan Fadhli yang tidak bermain menentang Syria kerana demam, patut tiada masalah untuk beraksi Ahad ini,” kata Kim Swee yang akhirnya boleh menarik nafas lega selepas mengharungi jadual padat Sukan SEA dan menghadapi kekangan masa untuk membuat persiapan menentang Syria, kelmarin.
Rehat selama tiga hari merupakan peluang terbaik untuk seluruh skuad terutama sebilangan pemain yang terpaksa beraksi dalam dua perlawanan tegang berturut-turut dalam tempoh kurang dari 48 jam.
Bagi Kim Swee, dia sendiri juga mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan dan percaturan taktikal lebih rapi berbanding ketika bertemu Syria.
“Saya tiada peluang untuk bermimpi pun,” keluhnya merujuk kepada masalah kekangan masa.
Bagaimanapun persembahan bertenaga di luar jangkaan daripada kesebelasan terbaik yang dapat diturunkan kelmarin, telah membangkitkan keyakinan dalam dirinya bahawa peluang mengejutkan Bahrain adalah cerah dengan adanya skuad yang lebih lengkap dan cergas.
Aksi menakjubkan pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Noor yang membuat penampilan sulung selepas lebih dua bulan tidak bermain, mendapat pujian Kim Swee.
“Saya agak terkejut Wan Zack mampu beraksi dengan sempurna sepanjang 90 minit permainan, ia satu keadaan yang agak luar biasa untuk seorang pemain yang diketepikan bagi tempoh panjang.
“Ini menunjukkan sepanjang tempoh dia tidak berlatih bersama kami, dia sendiri telah bersungguh-sungguh membuat latihan untuk mengembalikan sentuhan dan kecergasannya. Saya rasa sikap seperti ini patut dicontohi semua pemain,” jelasnya.
Sementara itu, Kim Swee juga mengharapkan lebih ramai penonton membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk memberi kekuatan tambahan kepada pasukannya.
Beliau mengakui, kejayaan menumpaskan Indonesia pada final Sukan SEA XXVI, Isnin lalu menukar senario bola sepak negara.
Justeru, beliau berharap peminat terus memberi sokongan untuk anak-anak buahnya berdepan Bahrain. “Saya amat terharu dengan semangat penyokong yang setia bersama kami walaupun tewas 0-2 kepada Syria, mereka tidak berganjak dari tempat duduk. Kami akan membalas sokongan anda pada Ahad ini,”’’ katanya lagi.

Saturday, October 22, 2011

Chong Wei jumpa Chen Long pada final Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan berdepan dengan bintang muda China, Chen Long, pada perlawanan akhir Kejohanan Terbuka Denmark di Odense, hari ini.
Chong Wei, yang mencari kejuaraan keenam musim ini, melangkah ke final selepas mengalahkan pemain tuan rumah yang berpengalaman, Peter Hoeg Gade, 21-19, 23-21 pada saingan separuh akhir semalam.
Pertarungan sengit memakan masa 40 minit itu membolehkan Chong Wei menjadi pemain tunggal negara ke perlawanan akhir selepas beregu lelaki negara Hoon Thien How/Tan Wee Kiong terkandas pada separuh akhir.
Chen Long pula mara ke final apabila menumpaskan pemain Jepun, Sho Sasaki 21-16, 21-7 pada satu lagi perlawanan separuh akhir.
Beregu negara Thien How/Wee Kiong tidak dapat menyaingi kehebatan beregu pilihan utama China, Cai Yun dan Fu Haifeng apabila tunduk 11-21, 11-21.
Sebelum ini, beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong menerima nasib malang apabila terkeluar lebih awal pada pusingan pertama selepas dikecewakan oleh pasangan Korea Selatan, Cho Gun Woo/Kwon Yi Goo 21-15, 15-21, 12-21.

Peluang All Blacks julang trofi

HENDERSON - Pemain skuad All Blacks tenang ketika sesi latihan semalam iaitu penampilan terakhir di depan kamera sebelum mereka berpeluang mencatat nama dalam sejarah ragbi New Zealand.
Mereka adalah pemain biasa yang akan beraksi pada final Piala Dunia dan tidak diragui jika menang perlawanan menentang Perancis hari ini, ia akan meletakan nama mereka sebagai atlet hebat dalam sukan New Zealand.
Di bawah tajuk 'Mereka yang pernah berjuang sebelum ini', akhbar New Zealand Herald semalam menyiarkan nama 192 pemain yang pernah menyarung jersi terkenal serba hitam pasukan itu, namun masih gagal memenangi Piala Webb Ellis sejak kejayaan sulung negara itu pada kejohanan 1987.
"Hari ini, pasukan ini berpeluang mencatat sejarah .
"Inilah saatnya untuk memenuhi impian buat mereka yang pernah mencuba sebelum ini," tulis akhbar tersebut.
Jika pemain merasakan bebanan sejarah terpaksa dipikul, ia tidak kelihatan ketika mereka menjalani latihan di Stadium Trusts semalam.
Pemain sayap, Richard Kahui menjalani latihan seperti biasa manakala pemain flyhalf, Aaron Cruden dan scrumhalf Piri Weepu berlatih melakukan sepakan, yang mungkin menjadi senjata utama pada perlawanan di Eden Park hari ini.
Isteri para pemain serta ahli keluarga menyaksikan sesi latihan dari tempat duduk sambil bersorak dan bertepuk tangan memberikan semangat.

Wednesday, October 12, 2011

4.7 bilion saksikan EPL


LONDON - Liga Perdana Inggeris (EPL) menarik sejumlah 4.7 bilion penonton seluruh dunia musim lalu.
Permintaan global untuk menonton kelibat pemain bertaraf bintang seperti Wayne Rooney, Robin van Persie, Didier Drogba dan Steven Gerrard mencapai kemuncak baru.
Laporan yang dikeluarkan sebuah agensi perunding perniagaan sukan terkemuka mendedahkan 70 peratus peminat bola sepak seluruh dunia menggemari bola sepak Inggeris.
Laporan kumpulan Sport+ Markt di Jerman menunjukkan liputan televisyen untuk aksi Liga Perdana Inggeris menjangkau 643 juta kediaman musim lalu, iaitu meningkat 11 peratus berbanding musim sebelum ini.
Jumlah penonton di rumah kini mencecah angka 3.9 bilion, manakala 777 juta lagi adalah mereka yang menonton di pub atau kedai makan di seluruh dunia.
Pasaran terbesar bola sepak Inggeris ialah Asia dan Ocenia, di mana 1.3 bilion penonton memilih perlawanan membabitkan Manchester United, Arsenal, Liverpool dan Chelsea pada 2010-11.
Dianggarkan 64 peratus di kalangan kaki bola di China menyokong kelab EPL, manakala separuh daripada peminat di Amerika Syarikat menggemari pasukan EPL.
Secara keseluruhan, siaran mengenai EPL disiarkan 185,000 jam di televisyen seluruh dunia, menjadikan ia acara sukan paling popular di dunia.
Di United Kingdom sahaja, 629 juta penonton menyaksikan siaran langsung perlawanan atau liputan mengenai perlawanan musim lalu, dengan 761 juta penonton lagi di seluruh Eropah

Monday, October 10, 2011

Woods dibaling hot dog

SAN MARTIN - Musim 2011 Tiger Woods terus dirundung malang apabila seorang peminat mencampakkan hot dog ke arahnya ketika pusingan akhir Terbuka Frys.com di Corde Valle, kelmarin.
Ketika insiden itu, Woods yang sedang bersiap sedia untuk meneruskan permainan pada lubang ke-16, tiba-tiba dikejutkan dengan tindakan seorang lelaki yang berada di kalangan penonton apabila membaling hot dog ke arah Woods.
Menyedari kejadian itu, Woods berundur daripada membuat pukulan. Lelaki terbabit menyerah diri kepada kakitangan keselamatan dan polis.
Pihak berkuasa tidak mendedahkan identiti lelaki tersebut, namun menyatakan dia berada dalam keadaan mabuk dan ditahan untuk membantu siasatan.
"Apabila saya melihat ke atas, hot dog melayang ke arah saya.
"Lelaki itu agak jauh dari kedudukan saya. Dia bagaikan sengaja ingin ditahan kerana dia terus meniarap dan meletakkan tangannya ke belakang badan.
"Saya fikir dia ingin mahu masuk surat khabar dan saya pasti hajatnya tercapai," kata Woods, pemenang 14 kejuaraan major.

Sunday, October 9, 2011

Vettel juara berganda termuda

SUZUKA, Jepun - Pelumba Red Bull, Sebastian Vettel mengesahkan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim ini selepas menduduki tempat ketiga pada GP Jepun semalam.
Ini bermakna pelumba Jerman itu cemerlang dengan status juara berganda termuda dalam F1.
Pelumba McLaren, Jenson Button yang bermula pada kelompok depan bersama Vettel (petak pertama), memenangi perlumbaan di Litar Suzuka, iaitu kemenangan ketiganya musim ini dengan hanya 1.160s di depan pelumba Ferrari, Fernando Alonso.
Vettel hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kejuaraan musim ini atau Button gagal memenangi perlumbaan.
Begitupun 15 mata yang diperoleh setelah menduduki tempat ketiga semalam lebih daripada mencukupi untuk pelumba berusia 24 tahun itu menjadi pelumba termuda yang memenangi kejuaraan dunia berganda.
"Kami melalui musim yang panjang. Perlumbaan hari ini tidak sepantas yang kami harapkan kerana kami menggunakan tayar lembut.
"Dengan keputusan yang memuaskan ini, ia membantu saya memenangi kejuaraan. Terima kasih kepada pasukan," kata Vettel.
Vettel merupakan pelumba termuda yang menyertai F1 iaitu pada usia 19 tahun 53 hari bersama pasukan Sauber di Turki pada 2006.
Dia merupakan pelumba termuda yang memulakan perlumbaan pada 2007 di Amerika Syarikat dan pada perlumbaan yang sama, dia muncul pelumba termuda meraih mata.
Pada 2007 di Jepun, dia merupakan pelumba termuda yang mendahului perlumbaan dan pada 2008 di Itali, dia menjadi pelumba termuda yang meraih petak pertama, juga pelumba termuda yang memenangi perlumbaan.
Keputusan bersama pasukan Toro Rosso itu mendorong perpindahan ke pasukan Red Bull pada 2009 dan hampir merangkul kejuaraan dunia, namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua di belakang Button.
Vettel menyertai senarai pelumba terhebat sebagai juara dunia berganda termasuk Michael Schumacher, Juan Manuel Fangio, Jack Brabham, Jackie Stewart, Ayrton Senna dan Alain Prost.
Kini Vettel berpeluang memburu rekod 13 kemenangan semusim milik Schumacher dan rekod 14 petak pertama semusim milik Nigel Mansell

Australia singkir juara dunia

WELLINGTON - Australia menyingkirkan juara bertahan Afrika Selatan 11-9 pada perlawanan suku akhir Ragbi Piala Dunia, semalam.
Dalam satu lagi pertembungan suku akhir, New Zealand mengatasi Argentina 33-10 untuk mencipta pertembungan separuh akhir dengan Australia.
Selepas mendahului 8-3, Afrika Selatan menguasai sebahagian besar perlawanan babak kedua dalam perlawanan yang menyaksikan ketua pasukan Wallabies, James Horwill merupakan pemain pemain tunggal yang berjaya melakukan try.
Segalanya tampak memihak kepada Afrika Selatan apabila mendahului Australia 9-8, tiga mata yang diperolehi drop goal melalui Morne Steyn.
Namun, ketika perlawanan 10 minit hendak ditamatkan, James O'Connor berjaya menyempurnakan penalti bagi meletakkan kedudukan 11-9, dengan kekentalan pemain sayap David Pocock menghalang Afrika Selatan mendapatkan sebarang tambahan mata bagi memastikan Wallabies melangkah ke separuh akhir.
"Semua pemain berusaha keras, mereka ternyata berjaya, pihak lawan meletakkan banyak tekanan kepada kami. Kami tahu kami perlu bersatu dan bertahan untuk menang perlawanan ini, " kata ketua pasukan Australia, Horwill

Tuesday, August 24, 2010

Kejohanan Badminton Dunia di Paris

Chong Wei jumpa Hafiz

KUALA LUMPUR - Pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim bakal bertemu sesama sendiri pada pusingan kedua Kejohanan Dunia di Paris hari ini.
Pertemuan kedua-duanya dijangka selepas mereka hanya berdepan lawan tidak ternama pada pusingan pertama yang berlangsung semalam di Stadium Pierre de Coubertin.
Chong Wei, pemain pilihan pertama kejohanan ke pusingan kedua selepas menewaskan Kevin Cordon dari Guatemala 21-7, 21-11 manakala Hafiz menundukkan pemain Belgium, Yuhan Tan 21-13, 21-15.
Turut mengikut jejak Chong Wei ialah pemain perseorangan wanita, Wong Mew Choo yang mengalahkan pemain Jerman, Karin Schnaase 21-16, 21-14.
Mew Choo akan turun beraksi dalam pusingan kedua menentang pemain pilihan ke-15 dari Rusia, Ella Diehl yang menyingkirkan wakil Switzerland, Jeanine Cicognini 21-15, 21-15.
Seorang lagi pemain perseorangan, Lydia Cheah mendapat bye dan akan bertemu pemain pilihan kelapan, Juliane Schenk.
Turut cemerlang ialah beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mara ke pusingan kedua selepas menyingkirkan gandingan Belgium, Jonathan Gilis-Severine Corvilain 21-12, 21-14.
Bagaimanapun, agak mengecewakan buat pasangan veteran Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang terpaksa menutup saingan awal selepas tewas kepada beregu Jerman, Kristof Hopp-Johannes Schottler 22-20, 17-21, 21-18.
Pasangan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mendapat bye dan akan menentang beregu Republik Czech, Ondrej Kopriva-Tomas Kopriva.

(Agak2 korang la kan, leh tak chong wei menang ngan Lin Dan kat Semi kalo dua dua org nih jumpa?)