Search This Blog

SELAMAT DATANG....... WELCOME~~~

Salam... selamat datang ke blog inspirasi jebat.... Moga moga ianya memberi manfaat dan informasi yang berguna kepada anda. sebarang cerita atau berita yang di sampaikan didalam blog ini tiada niat dengan sengaja atau tidak sengaja untuk menjatuhkan maruah, reputasi atau sebarang pandangan sama ada individu, syarikat mahupun negara. di harap anda dapat menerima blog ini...

ikhlas dari,
Jebat USM

Friday, September 3, 2010

Kerajaan tidak perlu akur tuntutan Bendera

PUTRAJAYA 2 Sept. - Kerajaan hari ini menegaskan, tuntutan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) supaya negara ini memohon maaf berikutan beberapa insiden membabitkan rakyat republik itu langsung tidak mempunyai asas.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kuala Lumpur tidak perlu memberi reaksi terhadap tuntutan kumpulan tersebut termasuk permintaan Jakarta memanggil pulang kesemua dua juta warga republik itu yang bekerja di negara ini.
"Tuntutan mohon maaf itu tidak mempunyai asas kerana kita telah mengemukakan dalam saluran diplomasi termasuk bantahan kepada beberapa insiden yang berlaku sebelum ini.
"Kita sudah setuju berbincang mengenai hal-hal dibangkitkan. Kedua-dua Menteri Luar juga akan mengadakan pertemuan di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 September ini dan kita harap ada keputusan baik dicapai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-63 di sini hari ini.
Utusan Malaysia dalam laporannya hari ini memetik permintaan Koordinator Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera), Mustar Bona Ventura Manurung agar Jakarta segera mencari jalan membawa pulang kira-kira dua juta tenaga kerja Indonesia yang mencari nafkah di Malaysia demi mempertahankan kehormatan serta kedaulatan negara dengan lebih 17,000 pulau itu.
Katanya, selepas kesemua warga Indonesia itu pulang, Jakarta perlu segera memutuskan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia melihat hubungan dua hala Kuala Lumpur dan Jakarta dari sudut jangka masa panjang kerana ia memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
"Faktanya begitu ramai orang Indonesia bekerja di sini sudah lama diterima dan tidak pernah menghalang kerana kita tahu ia adalah untuk kebaikan bersama," katanya.
"Atas dasar itu kita tidak mahu bersikap terlalu emosi sebaliknya rasional dan segala tindakan yang akan diambil oleh kedua-dua negara tidak bersandar kepada sentimen sekelompok manusia yang mempunyai muslihat tertentu.
"Apa yang penting kita mahu isu yang berbangkit diselesaikan secara diplomasi," katanya.
Menurut Muhyiddin, beliau yakin sebahagian besar rakyat Indonesia di negara ini tidak akan terpengaruh dengan desakan Bendera agar mereka pulang ke Indonesia dan tidak lagi bekerja di negara ini.
"Saya percaya sebahagian besar mereka yang berada di sini adalah orang yang menghargai apa yang telah pun kita buat untuk menolong mereka dan kita di sini juga amat menghargai pentingnya sumbangan perkhidmatan mereka kepada warga Malaysia," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian telah menyerahkan laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung kedudukan seorang pengetua yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman.
"Kita mengharapkan Ketua Pengarah JPA akan buat keputusan dengan segera," katanya.
Dalam hal ini, beliau menegaskan, kerajaan membuat pendirian akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan atau melakukan perbuatan berbaur perkauman tanpa mengira bulu.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sudah sebut itu adalah pendirian kerajaan walaupun ada pihak kata seolah-olah kita tidak tegas.
"Kita telah teliti perkara itu dan yang utama kerajaan mahu melihat negara tidak porak-peranda dan tercetus perkara yang boleh memberi kesan buruk.
"Tindakan akan diambil tidak mengira bulu, kalau ada apa-apa kenyataan atau perbuatan yang boleh timbulkan perkauman perlu dielakkan," katanya.

No comments:

Post a Comment